KUALA LUMPUR – Penyanyi lagu Cinta Muka Buku, Najwa
Latif menafikan laporan sebuah akhbar pada Ahad yang menganggarkan
pendapatannya mencecah RM1 juta setahun.
Najwa, 18, menjelaskan pendapatannya sepanjang tahun lalu kurang daripada
RM500,000 hasil daripada persembahan pentas, penjualan album dan nada dering
selain pelantikannya sebagai duta Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR)
“Saya masih belum tahap bergelar jutawan seperti dilaporkan namun syukur
jika benar pendapatan saya sebanyak itu saya anggap apa yang ditulis sebagai
doa,” katanya kepada mStar Online.
Najwa ditemui pada Jelajah Anugerah Juara Lagu 28 (AJL 28) di Busana @
Menara Mara di sini, Ahad.
Najwa mengulas mengenai laporan yang menyenaraikannya sebagai salah lima
artis wanita muda yang mempunyai pendapatan tertinggi di Malaysia.
Najwa memberitahu dia baharu sahaja membeli sebuah kereta dan kondominium
hasil daripada titik peluhnya sejak bergelar artis.
Bagaimanapun Najwa tidak menafikan ada membeli sebuah kereta dan
kondominium di Shah Alam sebagai aset untuk masa depannya.
“Impian saya untuk mempunyai kereta dan rumah sendiri akhirnya terlaksana
hasil kerja keras saya selama ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Najwa berkata, dia tidak bimbang sekiranya ada
pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadapnya selepas berita itu disiarkan
kerana ia tidak benar.
Kata Najwa, apa yang lebih penting dia perlu sentiasa berpijak dibumi nyata
dan meningkatkan motivasi diri supaya dapat menghasilkan lagu yang berkualiti
kepada peminatnya.
“Bimbang juga laporan itu disalah erti tetapi ia tidak terlalu memberi
kesan kerana apa yang lebih penting perhatian terhadap pengajian di UNITAR dan
kerjaya nyanyian menjadi keutamaan saya,” jelasnya.
Sementara itu, mengulas mengenai AJL 28, Najwa berkata, persiapannya lebih
tertumpu kepada persembahan pada malam itu nanti dan tidak berhasrat untuk
bersaing dengan mana-mana pihak.
Kata Najwa, dia hanya mahu berseronok membuat persembahan untuk penonton
dan teruja berpeluang bertanding di AJL 28 buat kali kedua.
“Soal menang atau kalah bukan perhatian saya tetapi lebih kepada persediaan
untuk membuat persembahan kerana ingin berseronok pada malam itu nanti,”
ujarnya.
Najwa turut memberitahu dia bakal melancarkan dengan single terbaharunya
berjudul Hilang awal Februari yang ditulis bersama kakaknya, Syafiqah Latif. –
Mstar.com.my
No comments:
Post a Comment